Ensabi adalah sejenis sawi Sarawak yang rasanya pahit-pahit. Di Sarawak ia juga dikenali sebagai Ensabi Iban atau Ensabi Dayak kerana ia adalah sayur dan makanan asal komuniti Iban.
Hari ini, Ensabi bukan saja menjadi sayur dan lauk yang dinikmati oleh komuniti Iban, Ensabi goreng juga menjadi hidangan kegemaran segenap lapisan masyarakat di Sarawak.
Selain di Sarawak, Ensabi juga boleh didapati di Semenanjung seperti di Pasar Borneo Johor dan Pasar Borneo Seri Kembangan Selangor, serta restoran bertemakan Borneo di sekitar Lembah Klang.
Sekiranya di pasar tamu di Sarawak, anda boleh menemukan sayur Ensabi dengan mudah, dan biasanya seikat Ensabi dijual dalam RM2 atau lebih bergantung pada saiz ikatan tersebut.
Terdapat pelbagai cara untuk memasak Ensabi. Pertama, sawi Ensabi segar boleh digoreng begitu saja, selain boleh dimasak sup dengan daging.
Kedua, Ensabi boleh dibuat jeruk atau kasam. Rasa masam, manis dan masin kasam Ensabi yang siap digoreng sememangnya menjadi hidangan pembuka yang cukup menyelerakan.
Berikut adalah langkah-langkah mudah bagi anda yang mahu mempelajari cara menghasilkan kasam Ensabi.
Cara-cara Membuat Kasam Ensabi atau Ensabi Jeruk
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan:
- Sawi Ensabi segar
- Garam kasar
- Air beras
- Sedikit gula
- Tupperware atau bekas bagi menyimpan dan memeram sayur ensabi
Langkah 1: Sawi Ensabi segar perlulah dibersihkan terlebih daulu. Bahagian akar pada sayur Ensabi itu perlu dibuang.
Langkah 2: Setelah selesai dibersihkan, Ensabi itu perlu dijemur dibawah sinaran matahari, kira-kira 6jam hingga 8 jam.
Langkah 3: Setelah selesai proses penjemuran, langkah seterusnya adalah proses merenyukkan Ensabi yang telah layu itu.
Dalam langkah ini, masukkan garam kasar dan gula, kemudian renyukkan ia sehingga ia kelihatan lembap dan berair seperti yang ditunjukkan pada foto dibawah.
Langkah 4: Setelah selesai langkah ketiga, langkah terakhir adalah perlu masukkan Ensabi itu ke dalam bekas kedap udara dan masukkan air beras sekali.
Kemudian pastikan bekas yang digunakan itu ditutup rapat dan diletakkan dalam suhu bilik. Proses memeram Ensabi ini biasanya dalam 5 hari hingga ke 7 hari.
Selepas 1 minggu, Ensabi yang sudah siap dijeruk itu sudah boleh digoreng. Sebelum digoreng, pastikan ia dicuci terlebih dahulu bagi menghilangkan lebihan rasa masin dan memastikan tahap kebersihan kasam Ensabi.
Biasanya ia akan digoreng bersama dengan ikan bilis. Sekiranya mahu menambah rasa pada kasam Ensabi goreng itu, boleh bubuh sedikit gula supaya nanti ada rasa manis masam serta masin pada Ensabi goreng itu.
0 comments:
Post a Comment