Sarawak terdiri daripada daripada 12 bahagian utama iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Kota Samarahan, Mukah, Betong dan Serian.
Setiap bahagian ini mempunyai keunikannya dan tarikannya yang tersendiri.
Kuching yang merupakan ibu negeri Sarawak sudah tentunya akan menawarkan pelbagai keunikan yang akan membuatkan anda jatuh cinta pada bandaraya ini.
1. Jatuh Cinta Pada Makanan Sarawak
Seorang pegawai perubatan bernama Kok Sen Wai yang berasal dari Melaka dalam temubualnya yang disiarkan di portal media Cilisos, memberitahu, sebaik tamat pengajian perubatan, beliau memilih Kuching, Sarawak sebagai penempatan pertama untuk bertugas kerana jatuh cinta pada “miding” atau “lemiding”.
Miding adalah sejenis paku pakis yang menjadi lauk kegemaran komuniti di Sabah dan Sarawak. Kebiasaannya ia akan digoreng bersama dengan belacan.
Selain miding, Kuching juga terkenal dengan beraneka jenis makanan “wajib” yang kamu perlu rasa sekiranya mengunjungi bandaraya ini. Antaranya adalah seperti kek lapis, ikan terubuk, mee kolok dan laksa Sarawak.
Tidak lengkap kunjungan anda ke Bandaraya Kuching sekiranya tidak singgah di Swee Kang Jalan Haji Taha Kuching.
Disitu bukan saja dapat menikmati ais kacang yang teramat popular dan diminati warga Kuching, malah ada pelbagai jenis makanan lazat seperti rojak, mee belacan dan lain-lain yang anda boleh rasa sendiri.
Lebih indah lagi di kedai Swee Kang ini anda boleh melihat pelbagai lapisan warganya yang berlainan latarbelakang bangsa dan agama, berkumpul di kedai dan duduk di meja yang sama, menjamu selera sama-sama.
2. Bandaraya yang harmoni
Tanggal 1 Ogos 2015, Bandaraya Kuching secara rasminya diiktiraf sebagai Bandaraya Perpaduan. Kuching adalah bandaraya pertama di dunia yang mendapat anugerah tersebut.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada Bandaraya Kuching kerana keunikan bandaraya ini dari segi kepelbagaian etnik dan budaya, penduduk yang mempunyai tahap toleransi agama yang tinggi, selain menawarkan tempat yang begitu kondusif kepada tiap kaum yang tinggal di bandaraya itu.
Bukan setakat itu saja, aspek seperti sistem pendidikan, persekitaran institusi pengajian tinggi yang mesra kepada warganegara dari negara luar serta aspek kesihatan turut menjadi kriteria yang dinilai dan akhirnya diputuskan Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan.
Kemesraan penduduk tempatan, tolerasi antara etnik, agama serta keharmoniannya pasti buat anda sentiasa rindu tempat ini dan teringin mahu menetap dan menjalani kehidupan disitu.
3. Tradisi Tempatan
Kampung Budaya Sarawak adalah antara destinasi mesti yang dikunjungi sekiranya ia adalah trip pertama anda di Bumi Kenyalang.
Kehadiran di Kampung Budaya Sarawak akan dapat memberi anda gambaran dan mengenali keunikan budaya dan tradisi bangsa dan etnik yang ada di Sarawak.
4. Keindahan Alam Yang Terpelihara Baik
Dalam kepesatan pembangunan ibu kota negeri Sarawak, khazanah alam semula jadi di bandaraya ini turut dilindungi dan dijaga dengan baik bagi memastikan keseimbangan ekosistemnya.
Sebahagian tempat pula dikembangkan serta dimajukan sebagai pusat tumpuan pelancong. Antara lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong adalah seperti Bako National Park, Damai Beach di Santubong, Fairy Cave & Wind Cave, Pusat Hidupan Liar Semenggoh (Wildlife Centre) – melihat orang Utan yang hanya boleh didapati di Kepulauan Borneo dan banyak lagi.
Kalau di Bako National Park – Batu Ular Tedung yang menjadi mercu tanda tempat pelancongan itu dikategorikan sebagai antara 10 Sea Stacks yang menakjubkan di dunia.
Batu Ular Tedung di Bako (Kredit Foto: Fzul Hody)
Itulah antara keunikan yang terdapat di Bandaraya Kuching, dan tidak lama lagi Jambatan Jubli Emas Kuching (Golden Anniversary Bridge) (seperti di foto dibawah) yang akan siap bakal menjadi mercu tanda baru bagi bandaraya ini. Jambatan sepanjang 330meter itu akan dapat menghubungkan Tebingan Sungai Kuching dengan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Taman Orkid dan Fort Margherita.
0 comments:
Post a Comment