Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya mempunyai data mengenai pemegang-pemegang lesen memandu tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan satu sindiket pengeluaran lesen memandu tanpa prosedur sah baru-baru ini, melibatkan 12 pegawai dan anggota JPJ.
“Sekarang kami beri peluang untuk mereka serah balik lesen kepada JPJ, tampil ke depan menjadi saksi pendakwaan bahawa anda beli dari siapa, kami tidak akan mengambil tindakan kalau anda datang secara sukarela.
“Tetapi jika dalam sebulan, anda tidak tampil ke hadapan, mana-mana pihak yang memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman minimumnya denda RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar di selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Logistik Kebangsaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan memalsukan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara bagi mengeluarkan lesen memandu terbang yang dijual pada harga antara RM2,000 dan RM3,500.
Katanya, sindiket yang mengeluarkan ‘lesen memandu terbang’ bagi kelas D (kereta) itu berani mempromosikan kegiatannya secara terang-terangan dalam media sosial dan pelanggan-pelanggannya tidak memiliki pun lesen memandu luar negara mahupun pernah berada di luar negara.
Ujarnya, tangkapan yang dilakukan SPRM setakat ini melibatkan pegawai dan anggota JPJ di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak namun pihaknya tidak menolak kemungkinan siasatan oleh SPRM akan membawa lebih banyak tangkapan.
“Kita memang serius membanteras kes rasuah dan salah guna kuasa dalam agensi kerajaan, walaupun mereka masih belum didakwa, tetapi kementerian ini ada hak untuk menahan kerja mereka,” katanya.
Jelas beliau, bagi membendung gejala berkenaan, pihaknya tidak lagi membenarkan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara dilakukan di pejabat JPJ cawangan sebaliknya perlu dibuat di pejabat JPJ negeri.
Katanya, sindiket yang menyasarkan warga tempatan dan warga China yang berada di Malaysia itu telah mengakibatkan ketirisan hasil negara serta kerugian kepada institut-institut pemandu selain turut menghasilkan pemandu-pemandu tidak kompeten dan membahayakan keselamatan jalan raya.
0 comments:
Post a Comment