|
gambar hiasan |
SERIAN: Sekurang-kurangnya 10 kes serangan anjing gila atau rabbies telah dilaporkan di Kampung Paon Sungai Rimu Bakong dekat sini, sejak April lalu.
“Yang terakhir melibatkan seorang warga emas yang diterkam dan digigit anjing belaannya ketika sedang tidur,” kata seorang penduduk, Paul Ken Gapaya.
Katanya, warga emas itu mengalami simptom demam dan telah dibawa oleh pasukan perubatan menjalani pemeriksaan kesihatan semalam.
“Kebanyakan kes serangan tersebut, termasuk yang melibatkan kanak-kanak bagaimanapun segera dibawa menerima rawatan, baik di Klinik Kesihatan Balai Ringin mahupun Hospital Serian.
“Pun begitu dua kanak-kanak malang yang berusia empat dan enam tahun yang kini kritikal di Hospital Umum Sarawak tidak pula dirujuk keluarga ke klinik berdekatan sebaik digigit anjing belaan keluarga di rumah neneknya, bulan lalu.
“Mereka hanya disedari demam minggu lalu sebelum keadaan menjadi lebih serius dan kritikal,” katanya.
Jelas Paul, sejak menyedari beberapa anjing di kampung itu berbeza watak dan menunjukkan gejala penyakit, mereka secara sepakat telah mengambil tindakan membunuhnya.
“Lebih 30 ekor anjing yang disyaki dijangkiti penyakit ini telah dibunuh oleh penduduk kampung sejak penghujung April lalu.
“Yang tinggal kini ialah anjing-anjing kecil yang tidak keluar rumah. Namun kita masih memantau baki anjing-anjing, apatah lagi selepas kes ini tercetus,” katanya lagi.
Menurut seorang lagi penduduk, Arry Baee, apabila anjing-anjing ini dijangkiti, perlakuan mereka juga akan berubah.
“Perlakuannya amat ganjil, bersikap agresif dan air liur meleleh.
“Malah umpama zombie, ia akan berpusing-pusing, dengan ekornya berada di bawah kangkang.
Katanya, anjing itu akan menggigit apa sahaja di hadapannya, termasuk pokok pisang dan ubi kayu, selain anjing lain, kucing dan juga manusia.
“Saya pernah melihat seekor daripada anjing belaan kami yang menggigit ekornya sendiri hingga mati.
“Malah saya sendiri terpaksa membunuh tiga ekor anjing kesayangan saya sendiri kerana dijangkiti.
“Ia sesuatu yang amat memeritkan,” tambahnya.
Kata Arry lagi, selepas insiden itu, jumlah anjing di kampung itu begitu berkurangan secara drastik tetapi mereka sebenarnya tiada pilihan, kerana khuatir ia akan menyerang kanak-kanak di kampung tersebut. – Sarawakvoice